Analisis Kandungan Artikel Kesihatan Akhbar Terpilih dalam Tempoh Pilihan Raya Umum Ke-14 Malaysia
Abstract
Kajian ini dijalankan untuk menganalisis kandungan berita kesihatan serta melakukan perbandingan di antara ketiga-tiga akhbar, iaitu Berita Harian, New Straits Times dan Nanyang Siang Pau pada tempoh kempen Pilihan Raya Umum ke-14. Secara spesifiknya, objektif kajian ini adalah untuk mengenal pasti bentuk pemaparan dan penentuan agenda ke atas berita kesihatan dalam tempoh Pilihan Raya Umum ke-14. Analisis data dilakukan terhadap akhbar bermula 29 April 2018 sehingga 10 Mei 2018. Sebanyak 86 artikel daripada tiga akhbar yang berbeza bahasa telah dianalisis menggunakan kaedah analisis kandungan berdasarkan Teori Penentuan Agenda. Dapatan kajian mendapati agenda politik memang telah memainkan peranan dalam isu kesihatan yang dipaparkan sepanjang tempoh pilihan raya umum dijalankan dengan wujudnya beberapa berita yang menjadikan ahli politik sebagai sumber berita. Selain itu, akhbar New Straits Times dilihat lebih mementingkan isu kesihatan dengan paparan 33 artikel, iaitu 38.4% sepanjang tempoh kajian. Penggunaan teori penentuan agenda dalam kajian ini telah memberi satu gambaran yang jelas bahawa apa yang pembaca dapat lihat dan baca di dalam akhbar merupakan agenda media.